Monday, March 22, 2010

Suara Dikala Senja

Jam didinding menunjukkan tepat pukul 6.30 petang. Akira yang masih belajar di darjah 4, duduk di ruang tamu sendirian, menonton rancangan kartun kegemarannya. Mama dan papanya sedang melayan tetamu di ruang tamu hadapan manakala kakaknya Atira sedang nyenyak tidur di dalam bilik. Akira yang sedang leka menonton televisyen dikejutkan apabila terdengar namanya dipanggil dari arah luar rumah berulang-ulang kali. Suara yang memanggil seakan-akan suara kanak-kanak. Segera Akira menjenguk ke luar, namun tiada siapa yang berada di luar rumah. Seperti kebingungan, Akira duduk semula di sofa dan menyambung menonton tv. Tidak lama kemudian, dia terdengar namanya dipanggil lagi. Akira menjenguk kembali ke luar rumah. Dia membuka pintu lalu keluar mencari arah datangnya suara itu.



Apabila dia keluar, suara yang memanggil namanya tiba-tiba tidak kedengaran lagi. Akira semakin pelik. Dia meninjau-ninjau disekitar rumah namun tiada siapa yang kelihatan. Baru sahaja dia melangkahkan kaki hendak masuk ke rumah semula, suara kanak-kanak yang memanggil namanya kedengaran semula.

'Akira...Akira. Akira...Akira...' sayup-sayup kedengaran suara kanak-kanak itu memanggil-manggil nama Akira. Akira segera berpaling lalu cuba mencari arah suara tersebut. Suara itu terus memanggil nama Akira. Tiba-tiba Akira teringat kawan sekolahnya Mulan. Bibir Akira mula mengukir senyuman kerana menyangka Mulan pulang ke rumah neneknya yang berhampiran dengan rumah Akira dan mahu mengajak Akira bermain. Segera Akira membuka pagar rumahnya lalu menuruni tebing di tepi jalan untuk mencari Mulan. Akira meninjau-ninjau di bawah tebing dan belukar berhampiran, namun tiada siapa disitu. Suara itu juga tidak kedengaran lagi. Kaki Akira terus melangkah menuruni tebing dan hampir ke jalan raya yang sibuk dengan kenderaan. Akira sendiri tidak sedar yang dia sudah sampai ke jalan raya sehinggalah suara Aaron abangnya yang menjerit memanggil namanya menyedarkannya. Akira yang terkejut segera berlari naik ke atas. Mujur ketika itu, tiada kenderaan yang lalu. Kalau tidak, entah apa akan jadi pada Akira.

Aaron memarahi Akira lalu Akira berterus terang bahawa dia terdengar ada suara kanak-kanak yang memanggil namanya sebentar tadi. Aaron segera menyuruh Akira masuk kerana hari hampir maghrib dan Aaron turut mengatakan bahawa tiada kanak-kanak mahu bermain dibelukar senjakala begini. Akira masih tidak berpuas hati lalu menelefon Mulan dan bertanya jika Mulan ada pulang ke kampung dan memanggilnya tadi. Jawapan Mulan tiba-tiba membuat bulu roma Akira meremang. Mulan langsung tidak pulang ke kampung. Akira mula terasa seram. Masih terngiang-ngiang suara kanak-kanak itu yang memanggil namanya senja tadi. Entah apa tujuan suara itu memanggilnya, Akira sendiri tidak tahu. Mujur juga hanya suara yang kedengaran dan bukan fizikal empunya suara itu. Namun, jika Aaron tidak menyedarkannya tadi, mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku pada Akira.


* * * Akira is wildcutecat

No comments:

Post a Comment

LinkWithin