Monday, March 22, 2010

Anak Patung Misteri

Avril terpinga-pinga melihat keadaan sekelilingnya. Dahinya berkerut-kerut cuba mengingati tempat dimana dia berada sekarang. Rambutnya kusut masai. Seluruh tubuhnya terasa sakit seperti terjatuh dari tempat tinggi. Bagaimana dia boleh sampai ke tempat misteri ini, dia pun tak pasti. baju gaun tidur yang dipakainya habis comot dan kotor. Avril cuba berdiri walaupun kakinya masih terasa sakit. Matanya meliar melihat sekeliling. Sunyi. Hanya diterangi cahaya lampu yang malap. Dia berada ditempat yang asing sekali...bersendirian. Dia berdiri dilaluan yang berbentuk bulatan. Ditengah-tengah bulatan itu pula tumbuhnya sepohon pokok yang sangat tinggi, manakala disekeliling pokok itu terdapat gaung yang sangat dalam. Tiada pintu atau laluan keluar yang lain. Hanya dinding yang sangat tinggi berada di kelilingnya.



Dalam keadaan yang termangu itu, Avril melangkah menyusuri laluan bersimen yang berbentuk bulatan itu. Sudah beberapa kali dia berpusing-pusing ditempat yang sama. Avril semakin keliru dan takut. Dia menjerit meminta tolong sambil terus melangkah mengelilingi bulatan itu. Tiba-tiba, dia ternampak anak patung berbentuk manusia sedang duduk membelakangkannya di atas pokok di tengah-tengah bulatan tersebut.  Avril mengambil sebatang galah yang sangat panjang yang berada berhampiran dengan pokok tinggi itu lalu memberanikan diri menjolok anak patung yang dilihatnya.. Sebaik sahaja galah tersebut menyentuh
anak patung tersebut, dengan pantas anak patung itu terus bergerak lalu berpaling kepada Avril dengan wajah yang menakutkan.

Avril menjerit ketakutan. Galah yang dipegangnya terlepas dari tangan. Tiba-tiba muncul 2 lagi anak patung yang serupa dengan yang dijoloknya tadi. ketiga-tiga anak patung itu memandang Avril dengan wajah yang bengis dan menakutkan dari atas pokok. Kaki Avril seperti terpaku di situ. Wajahnya pucat lesi. Anak-anak patung itu terus turun dari pokok tinggi tersebut sambil mata tidak lepas dari merenung Avril. Avril cuba melarikan diri. Namun langkahnya terasa berat sekali. Ketiga-tiga anak patung itu sudah berada di atas laluan betul-betul dihadapannya. Dengan kudrat yang ada, Avril cuba berlari menyelamatkan diri. Puas dia menjerit meminta tolong, namun tiada siapa yang datang. Anak-anak patung tersebut terus mengejar, semakin lama semakin hampir. Entah  berapa pusingan dia berlari, Avril sendiri tidak pasti. Langsung tiada tanda pintu atau lubang untuk keluar dari tempat misteri itu.

Sedang dia berlari, tiba-tiba akar pokok tinggi ditengah-tengah bulatan itu bergerak lalu mencengkam kaki Avril. Serta merta dia jatuh berdebuk di atas laluan bersimen itu. lutut dan tapak tangannya berdarah. Anak-anak patung itu semakin menghampiri. Avril yang tidak mampu lagi untuk bergerak, hanya mampu memandang anak-anak patung itu menghampirinya dengan wajah yang bengis tanpa sebarang suara.
Avril menutup kedua-dua matanya sebaik sahaja tangan anak patung itu cuba mencapai tubuhnya.

Avril tersentak dari tidurnya dan terus terjaga. Dia beristigfar beberapa kali. Tubuhnya dibasahi peluh. Kakinya menggeletar. Dia bermimpi rupanya. Namun, mengapa jantungnya berdegup dengan kencang dan mengapa kakinya terasa lenguh dan sakit? Avril meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya. Apabila dia memandang ke hadapan, dia terkejut melihat anak patung dihadapannya sedang memandangnya sambil menayangkan giginya. Avril terkejut dan terkaku ditempat tidurnya. Dia menggosok-gosok matanya. Apabila mata dibuka, anak patung tersebut sudah ghaib dari pandangan. Avril termangu-mangu. Tiba-tiba tubuhnya menggigil lalu segera dia berselubung dibawah selimut sementara menunggu hari siang.


* * * Avril is wildcutecat

No comments:

Post a Comment

LinkWithin