Saturday, March 20, 2010

Biarkan Bulan Bicara Sendiri (Bhgn 2)

Danial turut merenung makhluk itu. Sesaat pun dia tidak boleh terleka kerana berbanding dirinya, pergerakan makhluk itu sangat pantas. Beberapa saat berlalu, Danial dan makhluk itu masih merenung antara satu sama lain. Makhluk itu dengan mata yang merah dengan taring yang tajam menyeringai mula melangkah perlahan menghampiri tempat Danial berdiri. Danial masih tidak berganjak dari kedudukannya. Rihana yang memerhati dari celah akar pokok itu semakin takut melihat situasi itu. Dia tidak mahu Danial mati. Pertama kali Rihana dapat melihat makhluk yang meragut nyawa sahabat-sahabatnya dari dekat. Wajah yang sangat hodoh dan menakutkan. Bentuk badannya seperti serigala sebesar lembu jantan. Namun ada sedikit kelainan pada wajah makhluk tersebut, tidak seperti serigala biasa.



Rihana hanya memerhati dari jauh Danial dan makhluk itu saling berpandangan. Makhluk itu berdiri bertentangan menghadap Rihana yang bersembunyi manakala Danial berdiri membelakangkan Rihana. Beberapa minit berlalu, keadaan masih sama. Kedua-dua makhluk yang berdiri dihadapannya tidak bergerak. Yang kedengaran hanya dengusan nafas dan bunyi deraman makhluk itu. Sesekali makhluk itu melolong tiba-tiba membuatkan Rihana menggigil dan menangis ketakutan. Namun, Danial sedikit pun tidak berganjak. Masih berdiri di situ sambil kedua-dua tangannya erat memegang dahan kayu untuk mempertahankan diri. Sesekali terdengar lolongan serigala itu semakin sayu seolah-olah dalam kesedihan.

Tiba-tiba makhluk itu mengalihkan pandangannya ke arah Rihana membuatkan wajah gadis itu yang sememangnya sudah pucat semakin pucat. Jika ditoreh dengan pisau pun, tiada darah yang akan mengalir. Makhluk itu menyeringai menunjukkan taringnya yang tajam pada Rihana. Danial yang melihat keadaan itu segera menghentakkan kakinya sekuat mungkin pada tanah membuatkan makhluk itu berlari ke arah belukar namun sempat berpaling ke arah Danial dan kemudian Rihana, lalu menghilang dalam kegelapan. Melihat makhluk itu sudah lari, hati Rihana lega. Dengan kudrat yang ada, dia berlari anak mendapatkan Danial yang masih berdiri di situ. Tubuh Danial segera dipeluk Rihana. Dia bersyukur tiada apa-apa yang buruk berlaku pada Danial. Tubuh Danial terasa hangat, degupan jantungnya sangat laju. Danial turut memeluk Rihana.

Malam itu, Rihana terlena keletihan di celah akar pokok besar itu. Mulanya Rihana tidak mahu tidur dan ingin berjaga sehingga hari siang, namun Danial berkali-kali meyakinkan yang makhluk itu takkan mengganggu mereka lagi. Danial yang duduk bersandar di pokok besar itu hanya memerhatikan Rihana tidur. Wajah putih bersih itu direnungnya lama. Rihana sangat cantik, menjadi kegilaan ramai lelaki termasuk Danial. Namun, bukan kerana wajah Rihana yang cantik membuatkan Danial jatuh hati pada Rihana. Dari umurnya 7 tahun lagi dia telah jatuh hati pada Rihana. Sejak pertemuan kali pertama 18 tahun yang lalu, Danial melakukan apa sahaja asalkan dapat sentiasa bersama Rihana. Mendaftar di sekolah rendah yang sama, kemudian sekolah menengah seterusnya di IPTA yang sama dengan Rihana. Namun, Danial tidak pernah menegur Rihana, dia hanya memerhatikan Rihana dari jauh sahaja. Melihat Rihana bersama lelaki lain membuatkan hatinya luka, namun Danial menunggu masa yang sesuai untuk dia berterus terang dengan Rihana. Pada semester terakhir di IPTA, barulah Danial mula menonjolkan dirinya pada Rihana. Ini kerana mereka bekerjasama dalam satu kumpulan seramai 4 orang untuk meyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah mereka. Sejak itu mereka mula rapat sebagai kawan namun hubungan mereka menjadi renggang sejak Danial meluahkan perasaannya pada Rihana. Rihana mula menjauhkan diri dan sering mengelak dari bertemu Danial. Danial tidak pernah memaksa Rihana untuk menerimanya, namun dia tidak akan berputus asa. Dia akan melakukan apa sahaja untuk Rihana, kerana suatu ketika dahulu, Rihana pernah menyelamatkannya tanpa disedari Rihana sendiri. Sejak itulah Danial mula tahu, gadis itu adalah takdirnya.

bersambung lagi...nak wat keje lak. huhuhu

No comments:

Post a Comment

LinkWithin